-KeJaYaAn ItU dIcIpTa OlEh InSaN bIaSa YaNg BeRuSaHa SeCaRa LuAr BiAsA-

Sabtu, 16 April 2011

bersabarlah menghadapi ujian

Hidup di dunia tidak lepas dari ujian dan dugaan dari Allah. Itu sudah menjadi rencah kehidupan manusia. Ada dua jenis bentuk ujian buat manusia, ujian dalam bentuk kesenangan dan ujian dalam bentuk kesusahan.
Cuma, acapkali apabila disebut ujian Allah maka rata-rata manusia beranggapan ujian itu adalah dalam bentuk bala dan musibah. Ramai yang lupa akan ujian kesenangan yang datang dalam pelbagai bentuk kekayaan, kekuasaan, kesihatan dan bermacam-macam lagi.
Bahkan ujian kesenangan sebenarnya lebih sukar kerana kebiasaannya manusia itu lupa kepada Tuhan tatkala dirinya mengecapi pelbagai kesenangan hidup. Apabila ditimpa kesusahan, kebanyakan manusia akan kembali menyeru Tuhannya.

Mengenai ujian kesusahan, firman Allah di dalam Surah al-Baqarah:
[155] Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar:

[156] (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: "Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali."

[157] Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmatNya; dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayahNya.

Maka antara ujian yang datang daripada Allah itu ialah timbulnya perasaan takut di hati, kelaparan, hilangnya harta benda, tanaman dan orang yang disayangi. Kebiasaannya apabila manusia ditimpa musibah, pastinya mereka akan berada dalam keadaan sedih, dukacita dan gusar. Tetapi manusia yang bersabar menghadapi ujian akan menerima khabar gembira.

Ciri Manusia Yang Sabar

Manusia yang sabar ialah mereka yang apabila ditimpa kesusahan akan segera ingat kepada Allah, dengan berkata, "Inna lillah wa inna ilayhi raji'un," bahawa hidup kita ini secara keseluruhannya adalah hak milik mutlak Allah - apa sahaja yang kita miliki, baik harta, kuasa, bahkan nyawa kita dan orang-orang yang kita sayangi kesemuanya adalah hak milik Allah. Maka pastinya Allah berkuasa melakukan apa sahaja yang dikehendaki-Nya ke atas segala yang dimiliki-Nya, dan akan tiba masa dan ketika di mana kesemuanya akan dikembalikan kepada-Nya.
Para 'ulama mengingatkan bahawa sabar itu mestilah berlaku pada pukulan pertama, iaitu ketika mula-mula musibah melanda. Bukannya seperti kata pepatah, alah bisa tegal biasa. Manusia apabila mula-mula ditimpa musibah, ramai yang akan cepat melatah dan tidak redha dengan ketentuan tersebut. Setelah keadaan reda sedikit dan dia mula sedar bahawa dia tidak memiliki jalan keluar, barulah dia akan mula insaf, redha kepada ketentuan Tuhan dan berkata, "Sabar sahajalah, nak buat macam mana lagi..."
Itu bukanlah konsep sabar yang sebenar. Sabar yang sebenar ialah pada detik pertama musibah melanda, lantas manusia yang bersabar terus redha dengan ketentuan Allah tanpa sedikit pun timbul rasa kecewa atau penyesalan. Mereka inilah yang akan mendapat khabar gembira tersebut walaupun dilanda kesusahan.
Apa pula bentuk khabar gembira itu? Pertama khabar gembira itu datang dalam bentuk selawat daripada Allah, iaitu mendapat keberkatan daripada Allah dan keampunan dari dosa-dosa.
Kemudian datang pula rahmat Allah melimpahi mereka. Sa'id ibn Jubayr rahimahullah, seorang tokoh Tabi'in mengatakan bahawa rahmat itu ialah pelindung daripada siksa azab neraka. Dan akhirnya mereka adalah orang yang benar-benar mendapat petunjuk daripada Allah. Orang yang mendapat petunjuk pula akan mendapat ganjaran yang banyak kerana mereka mengikut petunjuk Allah.

Abu Salamah Dan Ummu Salamah

Ada satu kisah menarik yang perlu kita soroti. Siapa yang tidak kenal akan Abu Salamah dan isterinya, Ummu Salamah, radiyallahu 'anhuma. Kedua-duanya adalah antara sahabat Rasulullah sallallahu 'alayhi wasallam yang terawal memeluk Islam. Mereka berdua adalah antara pasangan yang sangat bahagia, namun ditentang oleh suku kaum mereka kerana mereka memeluk Islam. Suku Makhzum adalah antara puak yang terkenal sangat kuat menentang Islam di Makkah.
Pada awalnya, kedua-dua Abu Salamah dan Ummu Salamah berhijrah ke Habsyah. Kemudian tatkala timbul seruan hijrah ke Madinah, bersiap-siaplah Abu Salamah, Ummu Salamah dan anak mereka Salamah untuk berhijrah ke Madinah. Abu Salamah hanya memiliki seekor unta, maka dia terpaksa berjalan dan membiarkan isteri dan anaknya menunggang unta.
Malang sekali di pertengahan jalan, kaum keluarga mereka telah mengejar dan menahan mereka. Unta Abu Salamah dirampas, manakala Ummu Salamah dibawa pulang oleh keluarganya ke Makkah manakala keluarga Abu Salamah pula mengambil anak mereka Salamah kembali ke Makkah jua. Akhirnya Abu Salamah terpaksa berhijrah ke Madinah seorang diri, dan terpisahlah ketiga-tiga mereka.
Setiap hari, Ummu Salamah akan kembali ke tempat mereka dipisahkan dan mengenangkan suaminya di Madinah dan anaknya yang dijaga oleh keluarga suaminya di Makkah. Lebih kurang setahun ketiga-tiga mereka hidup terpisah sehinggalah akhirnya Ummu Salamah dan anaknya dibebaskan.
Dengan semangat yang kuat, Ummu Salamah membawa anaknya, Salamah yang masih kecil untuk ke Madinah. Bayangkan seorang wanita dan anak kecilnya ingin berjalan jauh menuju ke pangkuan suami berseorangan semata-mata kerana ingin menjaga agamanya!
Ummu Salamah tidak mahu berlengah kerana takut suku kaumnya akan merubah fikiran dan kembali menahannya dan memisahkannya dari anaknya. Lantas dia memulakan perjalanan, dan sesampainya di Tan'im, penjaga Kaabah - Uthman ibn Talhah yang masih belum memeluk Islam berpendapat bahawa tidaklah patut Ummu Salamah dan anak kecilnya dibiarkan berkelana ke Madinah tanpa ditemani lelaki. Maka dia berjanji kepada Ummu Salamah bahawa dia akan membawa mereka ke Madinah.
Akhirnya bersatulah kembali Ummu Salamah dan suaminya, Abu Salamah. Percintaan suami isteri ini sangatlah kuat, sehingga dikatakan pada suatu hari, Ummu Salamah berkata kepada suaminya bahawa dia (Ummu Salamah) mendengar daripada Rasulullah sallallahu 'alayhi wasallam bahawa sekiranya kedua-dua suami isteri dapat masuk syurga, maka si suami akan kembali bersama isterinya jika isterinya tidak berkahwin lain selepas kematian suaminya; begitu juga isteri akan bersama suaminya jika suaminya tidak berkahwin lain selepas isterinya mati.
Lantas Ummu Salamah meminta suaminya agar mereka sama-sama berjanji untuk tidak berkahwin lain jika salah seorang mereka mati dahulu agar dapat bersama-sama kembali di syurga. Tetapi suaminya, Abu Salamah berkata, sekiranya dia (Abu Salamah) mati dahulu, dia mahu isterinya berkahwin lagi. Lantas Abu Salamah berdoa kepada Allah, andai dia (Abu Salamah) mati dahulu, kurniakanlah kepada isterinya seorang suami yang lebih baik darinya. Begitu hebat cinta dan kasih sayang kedua-dua suami isteri ini.
Pada peperangan Uhud, Abu Salamah mengalami kecederaan teruk. Ketika masih dirawat isterinya, Abu Salamah berkata bahawa dia mendengar Rasulullah sallallahu 'alayhi wasallam memberitahu, sesiapa yang ditimpa bala musibah, hendaklah dia menyebut istirja' (Inna lillahi wa inna ilayhi raji'un), dan berdoa, "Ya Allah, berilah ganjaran atas kehilangan akibat musibah yang melanda diriku, dan berilah ganti yang lebih baik daripadanya, maka pasti Allah akan mengurniakan sesuatu yang lebih baik." Akhirnya Abu Salamah meninggal dunia akibat kecederaan yang dialaminya, dan tinggallah Ummu Salamah bersama anak-anak mereka di Madinah.
Ummu Salamah, tatkala teringat kembali akan kata-kata suaminya, sering melafazkan istirja' dan doa tersebut. Cuma dia seringkali tidak dapat meneruskan lafaz 'berilah ganti yang lebih baik', dan jika disebut juga lafaz tersebut, dia akan terkenang kerana baginya siapakah lelaki yang dapat menjadi suamu yang lebih baik daripada Abu Salamah. Segala kesusahan yang pernah mereka alami tatkala mula-mula memeluk Islam, ditambah dengan kebahagiaan mereka di Madinah menguatkan lagi rasa cinta Ummu Salamah kepada suaminya. Namun akhirnya berkat doa Ummu Salamah tersebut Allah mengurniakan Ummu Salamah seorang suami yang akhirnya diakui lebih baik dari Abu Salamah. Siapakah lelaki itu? Tidak lain daripada Rasulullah sallallahu 'alayhi wasallam sendiri.
Lihat sahaja ujian yang melanda Ummu Salamah. Ujian apakah yang lebih berat daripada kehilangan insan-insan tersayang yang banyak pula menempuh suka duka kehidupan bersama di jalan Allah. Namun Allah tetap memberi ganjaran kepada hamba-hamba-Nya yang bersabar.

KEHEBATAN SYURGA BERDASARKAN AL-QURAN

Allah menciptakan perkara-perkara yang luar biasa indah dan nikmatnya kepada orang-orang yang bertakwa sehingga menurut Nabi Muhammad s.a.w. di syurga itu terdapat apa-apa yang belum pernah dilihat oleh mata dan didengar oleh telinga serta tidak pernah pula terlintas di hati manusia.
Berikut adalah beberapa ayat Al-Quran tentang kehebatan syurga Allah SWT yang sempat saya kumpul :

"Perumpamaan syurga yang dijanjikan kepada orang-orang yang takwa ialah (seperti taman); mengalir sungai-sungai di dalamnya; buahnya tak henti-henti sedang naungannya (demikian pula). Itulah tempat kesudahan bagi orang-orang yang bertakwa, sedang tempat kesudahan bagi orang-orang kafir ialah neraka." (Surah Ar-Ra'd; 35)

"Kedua syurga itu mempunyai pohon-pohonan dan buah-buahan." (Surah Ar-Rahman; 48)

"Di dalam kedua syurga itu ada dua buah mata air yang mengalir." (Surah Ar-Rahman; 50)

"Di dalam kedua syurga itu terdapat segala macam buah-buahan yang berpasangan." (Surah Ar-Rahman; 52)

"Mereka bertelekan di atas permadani yang sebelah dalamnya dari sutera. Dan buah-buahan di kedua syurga itu dapat (dipetik) dari dekat." (Surah Ar-Rahman; 54)

"Di dalam syurga itu ada bidadari-bidadari yang sopan menundukkan pandangannya, tidak pernah disentuh oleh manusia sebelum mereka (penghuni-penghuni syurga yang menjadi suami mereka), dan tidak pula oleh jin." (Surah Ar-Rahman; 56)

"Di dalam kedua syurga itu ada dua buah mata air yang memancar." (Surah Ar-Rahman; 66)

"Di dalam syurga itu ada bidadari-bidadari yang baik-baik lagi cantik-cantik." (Surah Ar-Rahman; 70)

"Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal-amal soleh, bagi mereka syurga-syurga yang penuh kenikmatan..." (Surah Luqman, 8)

"Dan dimasukkanlah orang-orang yang beriman dan beramal soleh ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya dengan izin Tuhan mereka. Ucapan penghormatan mereka dalam syurga itu ialah "salam"" (Surah Ibrahim; 23)

"Mereka tidak mendengar perkataan yang tak berguna di dalam syurga, kecuali ucapan salam. Bagi mereka rezeki di syurga itu tiap-tiap pagi dan petang." (Surah Maryam; 62)

"Berlumba-lumbalah kamu kepada (mendapatkan) ampunan dari Tuhanmu dan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang beriman kepada Allah dan rasul-rasul-Nya. Itulah kurnia Allah, diberikan-Nya kepada siapa yang dikehendaki-Nya. Dan Allah mempunyai kurnia yang besar." (Surah Al-Hadid; 21)

"Di syurga itu mereka memperoleh buah-buahan dan memperoleh apa yang mereka minta." (Surah Yasin; 57)

"(Bagi mereka) syurga 'Adn mereka masuk ke dalamnya, di dalamnya mereka diberi perhiasan dengan gelang-gelang dari emas, dan dengan mutiara, dan pakaian mereka didalamnya adalah sutera." (Surah Fathir; 33)

"....Syurga itu sebaik-baik tempat menetap dan tempat kediaman." (Surah Al-Furqan; 76)

Ya Allah, anugerahkanlah kepada kami syurga-Mu dengan rahmat dan kasih sayang-Mu. Jadikanlah kami hamba-Mu yang beriman dan bertaqwa. Kami teringin menemui-Mu di syurga. Ampunkahlah dosa-dosa kami.

KeLeMbUtAn ItU kEbAiKaN

Rasulullah s.a.w bersabda, bermaksud:
"Sesungguhnya Allah itu bersifat lemah lembut dan ia menyukai sifat lemah lembut. Dan Allah memberikan sesuatu dengan cara lemah lembut yang tidak diberikan dengan cara kekerasan, dan juga tidak diberikan sesuatu melainkan dengan cara lemah lembut."(Riwayat Muslim)
Sifat Lemah Lembut

1. Sifat lemah lembut adalah sifat yang disukai oleh Allah sebaliknya sifat kekerasan adalah sifat yang dibenci oleh Allah.
2. Kekerasan tidak akan dapat menyelesaikan masalah sama ada yang meliputi bidang alam rumahtangga perhubungan masyarakat dan sebagainya.
3. Umat Islam dituntut supaya bersifat lemah lembut dan bertolak ansur didalam perkara-perkara yang tidak bertentangan dengan syariat Islam.
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
"Sesiapa yang dikurniakan sifat lemah lembut nescaya ia akan memperolehi kebaikan dalam semua hal."(Riwayat Muslim)
1. Lemah-lembut adalah akhlak yang mulia yang dianugerahkan oleh Allah S.W.T kepada hamba-nya. Oleh itu orang yang memiliki sifat lemah lembut adalah orang yang sangat beruntung.
2. Melatih diri untuk dapat memiliki sifat mulia ini dapat dimulakan dengan menahan diri apabila marah dan mempertimbangkan baik buruknya sesuatu perkara sebelum bertindak.
3. Orang yang lemah lembut melambangkan orang yang sentiasa sabar dan tenang (tidak tergesa-gesa). Namun sifat lemah lembut ini lebih baik diseiringkan dengan ketegasan agar seseorang itu tidak mudah dipermainkan atau diperbodohkan oleh orang lain.
4. Rasullullah s.a.w adalah contoh orang yang paling lemah-lembut dan paling baik dalam pergaulan. Sesiapa yang melihat baginda dari jauh akan berasa gentar tetapi sesiapa yang bercampur atau bergaul dengan baginda tentu akan menyayangi baginda disebabkan oleh sikap lemah lembut baginda itu.
فَبِمَا رَحْمَةٍ مِّنَ اللّهِ لِنتَ لَهُمْ وَلَوْ كُنتَ فَظًّا غَلِيظَ الْقَلْبِ لاَنفَضُّواْ مِنْ حَوْلِكَ فَاعْفُ عَنْهُمْ وَاسْتَغْفِرْ لَهُمْ وَشَاوِرْهُمْ فِي الأَمْرِ فَإِذَا عَزَمْتَ فَتَوَكَّلْ عَلَى اللّهِ إِنَّ اللّهَ يُحِبُّ الْمُتَوَكِّلِينَMaka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu) dan pohonkanlah ampun bagi mereka dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. Kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakallah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya.
(Surah Ali-Imran 3: Ayat Ke 159)
 

Ahad, 10 April 2011

-kAsIh ILAHI-

Indahnya kasih Ilahi,
Sucikan dengan kewajipan,
Kau rasai satu kenikmatan,
Hidup dibawah taklukanNya...
Hiasilah diri dengan keimanan,
Tingkatkan ketaqwaan,
Tunaikanlah kewajipan,
Pada Allah yang menciptakan...
Semesta...
Warnailah kehidupanmu,
Iman itu mutiara penghias diri,
Peliharalah ia dengan kesungguhan,
Demi cintamu pada Allah...
Ya Rahman...
Dia yang memberi,
Dia Maha mengasihi,
Bersyukur cara terbaik,
Semakin kau meminta padaNya...
Moga dikau akan merasai,
Betapa indah kasih Ilahi,
Ku yakinkan kau akan dirahmati...
Betapa indahnya nikmat Ilahi,
Memohon doa kepada Tuhan,
Rasul junjungan diteladani,
Dunia akhirat kita imbangi...

-KiBlAt KiTa YaNg SaTu-

Apa hikmah kiblat kita satu? Sesungguhnya Allah SWT Maha Mengetahui akan rahsia dan hikmah setiap perkara yang diperintahkan oleh Nya kepada hamba-hamba Nya. Begitu juga dengan arah kiblat. Ini kerana bagi seorang Muslim yang tidak mempunyai aqidah yang kukuh ataupun orang kafir, mereka berpendapat bahawa Kaabah itu untuk disembah oleh orang Islam. Sedangkan pada hakikatnya Kaabah itu bukan sebuah binaan yang kita sembah tetapi yang disembah adalah Allah SWT. Allah SWT telah menentukannya sebagai arah kiblat. Rahsia dan hikmahnya kiblat ialah ia merupakan salah satu faktor penyatu seluruh umat Muslimin.
Satu Ummah Satu Kiblat

Kaabah merupakan satu kiblat yang tunggal yang menyatukan seluruh umat Muslimin dari berbagai-bagai negara dan dari berbagai-bagai bangsa, bahasa dan warna kulit. Ia merupakan satu kiblat yang sama, di mana seluruh umat Muslimin menghala kepadanya di merata pelosok Timur dan Barat di bumi ini. Dan di sana mereka merasa diri mereka selaku satu jisim dan satu diri yang menghadap satu matlamat dan berjuang untuk menegakkan sistem hidup yang sama, iaitu sistem hidup yang lahir dari hakikat diri mereka menyembah Tuhan yang sama dan beriman kepada rasul yang sama menghadap kiblat yang sama.
Demikianlah Allah menyatukan umat Muslimin. Dia menyatukan mereka dari segi Tuhan mereka, rasul mereka, agama mereka dan kiblat mereka. Dia menyatukan mereka dari berbagai-bagai negara, bangsa, warna dan bahasa. Allah tidak menyatukan mereka di atas landasan negara, bangsa, warna dan bahasa malah Dia menyatukan mereka di atas landasan aqidah dan kiblat walaupun mereka berbeza dari segi negara, bangsa, warna dan bahasa. Itulah kesatuan dan perpaduan yang layak untuk makhluk insan, kerana insan seharusnya bersatu dan berpadu di atas landasan aqidah hati nurani dan kiblat ibadat, sebagaimana haiwan bersatu dan berpadu di padang ragut dan dalam lingkungan pagar dan kandang. (Tafsir Fi Zilalil Quran Jilid 1 – Asy-Syahid Sayyid Qubt Rahimahullah)
وَمِنۡ حَيۡثُ خَرَجۡتَ فَوَلِّ وَجۡهَكَ شَطۡرَ ٱلۡمَسۡجِدِ ٱلۡحَرَامِ‌ۖ وَإِنَّهُ ۥ لَلۡحَقُّ مِن رَّبِّكَ‌ۗ وَمَا ٱللَّهُ بِغَـٰفِلٍ عَمَّا تَعۡمَلُونَ"Dan dari mana sahaja engkau keluar (untuk mengerjakan sembahyang), maka hadapkanlah mukamu ke arah Masjidilharam (Kaabah) dan sesungguhnya perintah berkiblat ke Kaabah itu adalah benar dari Tuhanmu dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali lalai akan segala apa yang kamu lakukan."
 (Surah Al-Baqarah 2: Ayat ke 149)

 

Sabtu, 9 April 2011

Gambaran Hari Kiamat

*Pesanan : Belajarlah menghabiskan pembacaan sehingga titik akhir. Itu ciri manusia berguna.



✐ Selepas Malaikat Israfil meniup sangkakala (bentuknya seperti tanduk besar) yang memekakkan telinga, seluruh makhluk mati kecuali Izrail & beberapa malaikat yang lain. Selepas itu, Izrail pun mencabut nyawa malaikat yang tinggal dan akhirnya nyawanya sendiri.
✐ Selepas semua makhluk mati, Tuhan pun berfirman mafhumnya “Kepunyaan siapakah kerajaan hari ini?” Tiada siapa yang menjawab. Lalu Dia sendiri menjawab dengan keagunganNya “Kepunyaan Allah Yang Maha Esa lagi Maha Perkasa.” Ini menunjukkan kebesaran & keagunganNya sebagai Tuhan yg Maha Kuasa lagi Maha Kekal Hidup, tidak mati.
✐ Selepas 40 tahun, Malaikat Israfil a.s. dihidupkan, seterusnya meniup sangkakala untuk kali ke-2, lantas seluruh makhluk hidup semula di atas bumi putih, berupa padang Mahsyar (umpama padang Arafah) yang rata tidak berbukit atau bulat seperti bumi.
✐ Sekelian manusia hidup melalui benih anak Adam yg disebut “Ajbuz Zanbi” yang berada di hujung tulang belakang mereka. Hiduplah manusia umpama anak pokok yang kembang membesar dari biji benih.
✐ Semua manusia dan jin dibangkitkan dalam keadaan telanjang dan hina. Mereka tidak rasa malu kerana pada ketika itu hati mereka sangat takut dan bimbang tentang nasib & masa depan yang akan mereka hadapi kelak.
✐ Lalu datanglah api yang berterbangan dengan bunyi seperti guruh yang menghalau manusia, jin dan binatang ke tempat perhimpunan besar. Bergeraklah mereka menggunakan tunggangan (bagi yang banyak amal), berjalan kaki (bagi yang kurang amalan) dan berjalan dengan muka (bagi yang banyak dosa). Ketika itu, ibu akan lupakan anak, suami akan lupakan isteri, setiap manusia sibuk memikirkan nasib mereka.
✐ Setelah semua makhluk dikumpulkan, matahari dan bulan dihapuskan cahayanya, lalu mereka tinggal dalam kegelapan tanpa cahaya. Berlakulah huru-hara yang amat dahsyat.
✐ Tiba-tiba langit yang tebal pecah dengan bunyi yang dahsyat, lalu turunlah malaikat sambil bertasbih kepada Allah SWT. Seluruh makhluk terkejut melihat saiz malaikat yang besar dan suaranya yang menakutkan.
✐ Kemudian matahari muncul semula dengan kepanasan yang berganda. Hingga dirasakan seakan-akan matahari berada sejengkal dari atas kepala mereka. Ulama berkata jika matahari naik di bumi seperti keadaannya naik dihari Kiamat nescaya seluruh bumi terbakar, bukit-bukau hancur dan sungai menjadi kering. Lalu mereka rasai kepanasan dan bermandikan peluh sehingga peluh mereka menjadi lautan. Timbul atau tenggelam mereka bergantung pada amalan masing-masing. Keadaan mereka berlanjutan sehingga 1000 tahun.
✐ Terdapat satu telaga kepunyaan Nabi Muhammad SAW bernama Al-Kausar yang mengandungi air yang hanya dapat diminum oleh orang mukmin sahaja. Orang bukan mukmin akan dihalau oleh malaikat yang menjaganya. Jika diminum airnya tidak akan haus selama-lamanya. Kolam ini berbentuk segi empat tepat sebesar satu bulan perjalanan. Bau air kolam ini lebih harum dari kasturi, warnanya lebih putih dari susu dan rasanya lebih sejuk dari embun. Ia mempunyai saluran yang mengalir dari syurga.
✐ Semua makhluk berada bawah cahaya matahari yang terik kecuali 7 golongan yang mendapat teduhan dari Arasy. Mereka ialah:
ⅰ- Pemimpin yang adil.
ⅱ- Orang muda yang taat kepada perintah Allah.
ⅲ- Lelaki yang terikat hatinya dengan masjid.
ⅳ- Dua orang yang bertemu kerana Allah dan berpisah kerana Allah.
ⅴ- Lelaki yang diajak oleh wanita berzina, tetapi dia menolak dengan berkata “Aku takut pada Allah”.
ⅵ- Lelaki yg bersedekah dengan bersembunyi (tidak diketahui orang ramai).
ⅶ- Lelaki yang suka bersendirian mengingati Allah lalu mengalir air matanya kerana takutkan Allah.
✐ Oleh kerana tersangat lama menunggu di padang mahsyar, semua manusia tidak tahu berbuat apa melainkan mereka yang beriman, kemudian mereka terdengar suara “pergilah berjumpa dengan para Nabi”. Maka mereka pun pergi mencari para Nabi. Pertama sekali kumpulan manusia ini berjumpa dengan Nabi Adam tetapi usaha mereka gagal kerana Nabi Adam a.s menyatakan beliau juga ada melakukan kesalahan dengan Allah SWT. Maka kumpulan besar itu kemudiannya berjumpa Nabi Nuh a.s., Nabi Ibrahim a.s., Nabi Musa a.s., Nabi Isa a.s. (semuanya memberikan sebab seperti Nabi Adam a.s.) dan akhirnya mereka berjumpa Rasullullah SAW. Jarak masa antara satu nabi dengan yang lain adalah 1000 tahun perjalanan.
✐ Lalu berdoalah baginda Nabi Muhammad SAW ke hadrat Allah SWT. Lalu diperkenankan doa baginda.
✐ Selepas itu, terdengar bunyi pukulan gendang yang kuat hingga menakutkan hati semua makhluk kerana mereka sangka azab akan turun. Lalu terbelah langit, turunlah arasy Tuhan yang dipikul oleh 8 orang malaikat yang sangat besar (besarnya sejarak perjalanan 20 ribu tahun) sambil bertasbih dengan suara yang amat kuat sehingga ‘Arasy itu tiba dibumi.
✐ ‘Arasy ialah jisim nurani yang amat besar berbentuk kubah (bumbung bulat) yang mempunyai 4 batang tiang yang sentiasa dipikul oleh 4 orang malaikat yang besar dan gagah. Dalam bahasa mudah ia seumpama istana yang mempunyai seribu bilik yang menempatkan jutaan malaikat di dalamnya. Ia dilingkungi embun yang menghijab cahayanya yang sangat kuat.
✐ Kursi iaitu jisim nurani yang terletak di hadapan Arasy yang dipikul oleh 4 orang malaikat yang sangat besar. Saiz kursi lebih kecil dari ‘Arasy umpama cincin ditengah padang . Dalam bahasa mudah ia umpama singgahsana yang terletak dihadapan istana.
✐ Seluruh makhluk pun menundukkan kepala kerana takut. Lalu dimulakan timbangan amal. Ketika itu berterbanganlah kitab amalan masing-masing turun dari bawah Arasy menuju ke leher pemiliknya tanpa silap dan tergantunglah ia sehingga mereka dipanggil untuk dihisab. Kitab amalan ini telah ditulis oleh malaikat Hafazhah / Raqib & ‘Atid / Kiraman Katibin.
✐ Manusia beratur dalam saf mengikut Nabi dan pemimpin masing- masing. Orang kafir & munafik beratur bersama pemimpin mereka yang zalim. Setiap pengikut ada tanda mereka tersendiri untuk dibezakan.
✐ Umat yang pertama kali dihisab adalah umat Nabi Muhammad SAW, dan amalan yang pertama kali dihisab adalah solat. Sedangkan hukum yang pertama kali diputuskan adalah perkara pertumpahan darah.
✐ Apabila tiba giliran seseorang hendak dihisab amalannya, malaikat akan mencabut kitab mereka lalu diserahkan, lalu pemiliknya mengambil dengan tangan kanan bagi orang mukmin dan dengan tangan kiri jika orang bukan mukmin.
✐ Semua makhluk akan dihisab amalan mereka menggunakan satu Neraca Timbangan. Saiznya amat besar, mempunyai satu tiang yang mempunyai lidah dan 2 daun. Daun yang bercahaya untuk menimbang pahala dan yang gelap untuk menimbang dosa.
✐ Acara ini disaksikan oleh Nabi Muhammad SAW dan para imam 4 mazhab untuk menyaksikan pengikut masing-masing dihisab.
✐ Perkara pertama yang diminta ialah Islam. Jika dia bukan Islam, maka seluruh amalan baiknya tidak ditimbang bahkan amalan buruk tetap akan ditimbang.
✐ Ketika dihisab, mulut manusia akan dipateri, tangan akan berkata- kata, kaki akan menjadi saksi. Tiada dolak-dalih dan hujah tipuan. Semua akan di adili oleh Allah Ta’ala dengan Maha Bijaksana.
✐ Setelah amalan ditimbang, mahkamah Mahsyar dibuka kepada orang ramai untuk menuntut hak masing-masing dari makhluk yang sedang dibicara sehinggalah seluruh makhluk berpuas hati dan dibenarkannya menyeberangi titian sirat.
✐ Syafaat Nabi Muhammad SAW di akhirat :
ⅰ- Meringankan penderitaan makhluk di Padang Mahsyar dengan mempercepatkan hisab.
ⅱ- Memasukkan manusia ke dalam syurga tanpa hisab.
ⅲ- Mengeluarkan manusia yang mempunyai iman sebesar zarah dari neraka.
(Semua syafaat ini tertakluk kepada keizinan Allah SWT.)
✐ Para nabi dan rasul serta golongan khawas juga diberikan izin oleh Tuhan untuk memberi syafaat kepada para pengikut mereka. Mereka ini berjumlah 70 000. Setiap seorang dari mereka akan mensyafaatkan 70 000 orang yang lain.
✐ Setelah berjaya dihisab, manusia akan mula berjalan menuju syurga melintasi jambatan sirat. Siratul Mustaqim ialah jambatan (titian) yang terbentang dibawahnya neraka. Lebar jambatan ini adalah seperti sehelai rambut yang dibelah tujuh dan ia lebih tajam dari mata pedang. Bagi orang mukmin ia akan dilebarkan dan dimudahkan menyeberanginya.
✐ Fudhail bin Iyadh berkata perjalanan di Sirat memakan masa 15000 tahun. 5000 tahun menaik, 5000 tahun mendatar dan 5000 tahun menurun. Ada makhluk yang melintasinya seperti kilat, seperti angin, menunggang binatang korban dan berjalan kaki. Ada yang tidak dapat melepasinya disebabkan api neraka sentiasa menarik kaki mereka, lalu mereka jatuh ke dalamnya.
✐ Para malaikat berdiri di kanan dan kiri sirat mengawasi setiap makhluk yang lalu. Setiap 1000 orang yang meniti sirat, hanya seorang sahaja yang Berjaya melepasinya. 999 orang akan terjatuh ke dalam neraka.
Rujukan: Kitab Aqidatun Najin karangan Syeikh Zainal Abidin Muhammad Al- Fathani. Pustaka Nasional Singapura 2004.
☞ Jika sekiranya kalian ingin mengumpul saham akhirat, sampaikanlah ilmu ini kepada sahabat² yang lain. Sepertimana sabda Rasulullah SAW: ❝ Sampaikanlah pesananku walaupun satu ayat. ❞ Sesungguhnya apabila matinya seseorang anak Adam itu, hanya 3 perkara yang akan dibawanya bersama :
① Sedekah/amal jariahnya.
② Doa anak²nya yang soleh.
③ Ilmu yang bermanfaat yang disampaikannya kepada orang lain.sumber: Amar Sufi

Rabu, 6 April 2011

-BeRdOaLaH sEnTiAsA & dImAnA-mAnA sAhAjA-

Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahwasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berDoa apabila ia memohon kepada-Ku, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah) Ku dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran. (Surah Al-Baqarah 2: Ayat 186)
Allah Sentiasa Ada dan Sentiasa Maha Mendengar
Mintalah, tidak semestinya dengan berbahasa arab. Mintalah dengan doa yang kita fahami maksudnya agar ia lebih datang dari hati sendiri. Gunakanlah doa-doa dari Al-Quran, doa-doa yang digunakan oleh Para Nabi Allah Swt. Mintalah apa sahaja dengan hati yang ikhlas, tenang, rendah diri, dan berbaik sangka kepada Allah Swt. Sentiasalah berdoa kepada Allah Swt dalam seharian, tidak kira untuk apa dan di mana. Hati itu hidup seandainya ada ikatan akidah yang kuat kepada Allah Swt. Itulah seteguh-teguh ikatan dan komunikasi.

Berdoa merupakan suatu ibadah, kerana dengan berdoa jelas sekali memperlihatkan penghambaan manusia kepada Allah. Dengan berdoa kepada Allah, maka terwujudlah: Allah, tempat meminta, tempat memohon, sedang si hamba adalah makhluk yang hina dan selalu dalam kekurangan. Berdoa sangatlah dianjurkan (diperintahkan) oleh agama, walaupun doa tidak memerlukan suatu syarat dan rukun yang ketat, seperti halnya ibadah solat, zakat, dan puasa.
Photo by:Akmal Ghani
وَإِذَا سَأَلَكَ عِبَادِي عَنِّي فَإِنِّي قَرِيبٌ أُجِيبُ دَعْوَةَ الدَّاعِ إِذَا دَعَانِ فَلْيَسْتَجِيبُواْ لِي وَلْيُؤْمِنُواْ بِي لَعَلَّهُمْ يَرْشُدُونَ
"Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahwasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berDoa apabila ia memohon kepada-Ku, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah) Ku dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran." (Surah Al-Baqarah 2: Ayat ke 186)
وَقَالَ رَبُّڪُمُ ٱدۡعُونِىٓ أَسۡتَجِبۡ لَكُمۡۚ إِنَّ ٱلَّذِينَ يَسۡتَكۡبِرُونَ عَنۡ عِبَادَتِى سَيَدۡخُلُونَ جَهَنَّمَ دَاخِرِينَ
"Dan Tuhan kamu berfirman: Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk Neraka Jahanam dalam keadaan hina"
(Surah Al-Mukmin/Ghafir 40: Ayat ke 60)
Mengapa kita perlu berdoa? Bukankah Allah SWT sememangnya tahu semua keinginan kita tanpa kita berdoa pun? Bukankah Allah SWT mengetahui apa yang terlintas di fikiran kita? Mengapa kita perlu berdoa lagi kerana bukankah berdoa itu sama sahaja seperti apa yang ada di dalam hati dan fikiran kita?
Suatu ketika dahulu saya sering putus asa di dalam berdoa. Kekadang terasa sangat penat dan bosan berdoa kerana sangat penat menunggu apa yang diinginkan dimakbulkan oleh Allah SWT. Sejak mengenal Allah SWT sehinggalah beberapa tahun yang lepas, saya sering memikirkan mengapa perlunya saya berdoa sedangkan Allah SWT mengetahui segala apa yang saya inginkan.
Mengapa Perlu Berdoa?
Berdoa adalah memohon dan meminta serta berharap. Pemohon sudah pasti memiliki darjat yang lebih rendah daripada Pemberi. Begitulah kita dengan Allah SWT. Jelas menunjukkan kita memerlukan Allah SWT dan memohon pelbagai perkara di dalam kehidupan kita ini. Darjat kita terlalu jauh malah amat jauh sehinggakan langsung tiada darjat atau juga sebenarnya tidak boleh membuat perbandingan langsung berbanding kebesaran Allah SWT.
Berdoa itu merendahkan darjat kita sehingga daripada kita rasa ada apa-apa kepada tiada apa-apa langsung. Kita meletakkan diri kita benar-benar berada di bawah. Kita memohon dan berharap sesuatu daripada Allah SWT. Dengan berdoa kita lebih jelas siapa kita dan kepada siapa kita memohon. Kita sedar kedudukan kita dan kita sedar kedudukan Allah SWT. Kita sedar kita hanyalah hamba ciptaan Allah SWT dan Allah SWT adalah Tuhan yang Maha Besar. Namun persoalan besar di sini adalah adakah kita benar-benar SEDAR dan merasakan sebenarnya kita ini hamba yang lemah? atau sekadar tahu?
Doa memerlukan KESEDARAN.
Apabila kita berdoa tanpa memiliki KESEDARAN yang kita ini lemah di sisi Allah SWT, kita tetap ego dan berasa hebat di sisi Allah SWT. Kita memohon tetapi permohonan kita tidak diserahkan kepada Allah SWT. Segala keinginan yang kita inginkan adalah sepenuhnya mengikut kehendak kita seluruhnya dan kita tidak dapat menerima kehendak Allah SWT. Lalu di dalam tidak sedar kita menganggap Allah SWT hanyalah sebagai Tuhan melakukan kerja untuk menunaikan segala kehendak kita.
Saudara, Apabila kita berdoa, kita menyatakan keinginan kita kepada Allah SWT dengan penuh KESEDARAN yang kita ini lemah, bodoh, tidak berdaya dan benar-benar mengharapkan pertolongan Allah SWT. Tetapi dalam masa yang sama kita sedia menerima segala ketentuan yang Allah SWT tetapkan. Kita juga akan terus mengikut segala ketetapan yang Allah SWT perintahkan kepada kita. Maka kita benar-benar akan berserah secara total kepada Allah SWT. Orang yang beriman itu tidak pernah kecewa kerana sentiasa menerima ketentuan Allah SWT dan tidak pernah putus asa di dalam mengikut ketetapan yang Allah SWT tetapkan.
Orang yang beriman sentiasa aktif. Melakukan segala kerja dan berusaha melakukannya sebaik mungkin di atas nama Allah SWT. Urusan rezeki dan segala penyelesaian hidup adalah hak Allah SWT yang kita tidak boleh pertikaikan kerana ia bukan hak kita. Di dalam masa yang sama juga, kita yakin dan prasangka baik dengan Allah SWT bahawa Allah SWT akan memakbulkan segala permintaan kita.
Kita sangat yakin dengan kehendak Allah SWT di mana kehendak Allah SWT merupakan ketentuan yang terbaik di sisiNya untuk diri kita. Bagaimana untuk yakin? Kita perlu mencapai kesedaran. Apabila kita berada di dalam KESEDARAN, pasti kita sangat yakin, Saudara, Memiliki kesedaran ini perlu dilatih. Ia tidak mampu dimiliki secara terus tetapi mampu dimiliki seawal latihan. Ia akan terus meningkat tanpa henti dan penghujung. Kesedaran ini ada turun naiknya tetapi apabila kita sudah mencapai ke satu tahap, ia akan tersimpan di dalam minda bawah sedar kita dan mudah untuk dicapai kembali jika kesedaran kita menurun.
Latihan-latihan kesedaran:
1. Berlatih Berada Dalam Keadaan ‘Living at the present’
2. Menatap Wajah Kejujuran
3. Pulang Dengan Kejiwaan
4. Sentiasa Sedar Di dalam Membuat Pilihan
5. Sentiasa Berterima Kasih Pada Allah
6. Menundukkan Ego
7. Kembali Kepada Allah SWT
8. Berserah Kepada Allah SWT 100% dan banyak lagi.